Dato’ Azlin Ahmad Shaharbi

PRESIDEN
(2012 – KINI)

Mengenai Peniagawati

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh.

Saya mengucapkan salam sejahtera kepada tetamu laman web Peniagawati di mana terdapat maklumat tentang persatuan kami serta aktiviti-aktiviti dan ahli-ahli.

Laman web ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua tetamu termasuk meluaskan jaringan niaga dan pasaran produk bagi ahli Peniagawati khususnya dan semua usahawan amnya.

Laman web ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua tetamu termasuk meluaskan jaringan niaga dan pasaran produk bagi ahli Peniagawati khususnya dan semua usahawan amnya. 

Alhamdulillah pada tahun 2017 ini, Peniagawati menyambut ulangtahun ke 37 pada 24 Mac 2017. Sebagai persatuan usahawan wanita yang tertua di Malaysia, saya bangga kerana Peniagawati masih bertahan sebagai persatuan yang relevan dan disegani ramai. Ini adalah hasil usaha dan komitmen dari kepimpinan Peniagawati terutama sekali mantan-mantan Presiden serta ahlinya yang sentiasa bekerja keras demi mencapai objektif Peniagawati dalam membangunkan usahawan wanita Bumiputera semenjak penubuhan Peniagawati pada tahun 1980 sehingga kini. 

Selama 37 tahun, Peniagawati telah melaksanakan pelbagai program latihan keusahawanan dalam pelbagai aspek perniagaan, peningkatan pasaran dan jaringan niaga serta misi dagangan ke luar negara bukan sahaja bagi manfaat ahli tetapi juga semua usahawan. Sebagai persatuan usahawan wanita Bumiputera yang premier di Malaysia, Peniagawati mendapat sokongan dan kerjasama yang erat dari kementerian dan agensi kerajaan, pihak swasta serta media cetak dan elektronik yang sering menjalankan program usahasama bersama Peniagawati. Sebagai peneraju kepada kecemerlangan usahawan wanita di Malaysia, Peniagawati juga telah dijemput untuk mengadakan kolaborasi di dalam forum dan persidangan  antarabangsa yang bertempat di Malaysia atau di luar negara. 

Keahlian Peniagawati terdiri dari lebih 1000 ahli dalam pelbagai industri yang merangkumi usahawan baru sehingga usahawan berjaya. Pendekatan dan fokus Peniagawati sekarang adalah dalam membina kapasiti usahawan muda Gen Y kerana terdapat ramai golongan belia kini yang menceburi bidang keusahawanan dan memerlukan bimbingan dalam memulakan perniagaan yang berjaya. Sebagai ahli Peniagawati, usahawan-usahawan muda ini mempunyai kelebihan kerana mendapat peluang berkenalan dengan ramai ahli-ahli Peniagawati lain yang akan berkongsi rahsia kejayaan mereka dan memberi semangat sebagai mentor atau ”role model”.

Sempena ulangtahun Peniagawati ke 37 tahun ini, Peniagawati akan menganjurkan pelbagai program-program khas termasuk Dialog Usahawan Bumiputera, Majlis Makan Malam DiRaja, Pertandingan Golf dan sebagainya. Peniagawati juga telah menubuhkan panel ”Think Tank” yang terdiri dari usahawan berjaya, ahli korporat serta wakil dari agensi kerajaan yang terlibat dalam keusahawanan termasuk MARA, SME Corp, CEDAR, TEKUN dan TERAJU untuk memberi nasihat, bimbingan dan kerjasama bagi menambahbaik strategi dan halatuju Peniagawati dalam melaksanakan dasar dan program berimpak tinggi dengan lebih efektif. 

Saya berharap agar semua tetamu akan melayari laman web ini dari masa ke semasa untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkembangan Peniagawati serta program-program terkini. Saya juga menyeru agar semua usahawan wanita bumiputera menyertai persatuan Peniagawati sebagai ahli supaya kita dapat berkongsi pengalaman dan bekerjasama di dalam usaha untuk meningkatkan perniagaan, taraf hidup dan prestasi kita serta memantapkan dayasaing dan dayatahan sebagai usahawan berjaya di dalam dunia perniagaan. Sesiapa yang ingin mendapat butir-butir lanjut tentang Peniagawati, silalah berhubung dengan sekretariat Peniagawati atau datang berkunjung ke Rumah Peniagawati.

Akhir kata, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama kepada Peniagawati selama ini dan saya berharap agar sokongan ini akan berterusan agar kita semua dapat bergabung tenaga dalam meningkatkan ekonomi usahawan wanita Bumiputera ke arah mencapai Wawasan 2020.

 

Salam Hormat dari saya,

 

Dato’ Azlin Ahmad Shaharbi

Presiden
PENIAGAWATI Malaysia

TOP